Karier muzik Nadeera Zaini

Nadeera memulakan karier muziknya dengan menyertai Vokal musim kedua pada tahun 2012. Beliau berjaya melepasi peringkat saringan dan terpilih menjadi diantara 11 peserta program realiti tersebut. Meskipun sering berada dikedudukan selesa setiap minggu, namun rezeki tidak berpihak kepadanya apabila beliau tersingkir konsert separuh akhir. Kegagalan tersebut tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk bergelar anak seni. Pada tahun 2014, sekali lagi beliau mencuba nasib dengan menyertai Mentor Legend. Pada konsert pengenalan, beliau telah terpilih menjadi protege kepada Zainal Abidin, sekaligus menewaskan Wada, iaitu salah seorang lagi calon protege kepada Zainal Abidin. Namun, kali ini rezeki tetap tidak menyebelahinya sekali lagi apabila beliau tersingkir di konsert separuh akhir kedua. Dua kali mengalami kegagalan dalam program realiti tidak sedikitpun memadamkan semangatnya untuk menjadi seorang penyanyi. Bahkan beliau menggunakan pengalaman yang ada untuk lebih berusaha menaikkan namanya sebagai penyanyi baru ketika itu. Ternyata usahanya berhasil apabila pada tahun 2020 beliau dilamar oleh sebuah syarikat rakaman, Map Music dan menandatangani kontrak bersama mereka. Kini beliau sedang bergiat aktif dan sibuk mempromosikan single pertamanya yang berjudul Nyawa.